Sejarah Batu Kurau (Tukugho)






Batu Kurau merupakan salah sebuah mukim di daerah Larut Matang yang terletak kira-kira 20 Km dari Bandar Taiping. Batu kurau boleh dilawati dengan melalui Jalan Besar dari Kamunting ke Batu Kurau atau dari Selama melalui Jalan Redang Panjang atau Jalan Pondok Tanjung ke Batu Kurau.
Di kalangan penduduk Batu Kurau, Batu Kurau di kenali sebagai Tukugho iaitu sebutan singkatan mengikut slang Pattani.
Dari sudut sejarah, Batu Kurau telah dibuka sejak tahun 1850-an lagi, apabila pemimpin Batu Kurau yang pertama iaitu Tok Amar Wan Kasa Bin Raja Hulubalang Pattani telah dilantik menjadi Penghulu pada tahun 1859-1867. Dalam hal ini didapati sejarah kewujudan mukim Batu Kurau adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada tahun 1850-1857 semasa Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut (Taiping).
Menurut orang tua-tua, asal-usul nama Batu Kurau diambil sempena daripada seketul batu besar yang menyerupai ikan kurau terletak di tebing Sungai Kurau (berhampiran jambatan jalan raya Kampung Batu 14). Sungai ini berpunca daripada beberapa batang anak sungai dari Kampung Sempeneh, Anak Kurau, Changkat Lobak hingga ke Kampung Pondok Tanjung, seterusnya mengalir ke Bukit Merah dan masuk muara di Kuala Kurau, daerah Kerian. Di kalangan
Penduduk di Batu Kurau kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu keturunan Pattani yang mempunyai pertalian darah dengan penduduk wilayah Pattani, Selatan Thai. Sememangnya orang Pattani suka memilih tempat yang strategik untuk membuka kampung sesuai dengan cara hidup mereka yang bercucuk tanam dan menternak haiwan. Mereka suka tinggal di kawasan kaki bukit yang mempunyai lata sungai yang jernih airnya serta kawasan tanah pamah yang berpaya untuk menanam padi. Kawasan kaki bukit memang sesuai untuk tanaman pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis, cempedak dan sebagainya; sementara lata yang mengalir ke sungai-sungai dapat membekalkan air ke sawah padi. Justeru, kehidupan orang Pattani yang begitu simbiosis dengan faktor alam semula jadi ini telah menjadi satu nostalgia sebagaimana dengan serangkap lagu lama orang Pattani seperti di bawah :
Ayun pak pek pak pong,
Gulai asam pedas,
Pakai baju tampung,
Lenggang bagai duras,
Duras buaya kampung,
Hilir-hilir mudik,
Mana kampung kita,
Balik sana bukit!
Justeru, walau di mana jua di negara ini, jika kita melihat pemandangan topografi seperti ini sudah pasti penduduknya adalah terdiri daripada orang-orang Pattani. Sebagai contoh di negeri Perak orang Pattani juga tinggal di Ijok, Selama, Bukit Gantang, Air kuning, Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu; sementara di Kedah pula seperti di Baling dan juga Sik.
Nama-nama tokoh besar yang lahir dari Batu Kurau ialah seperti Allahyarham Dato’ Seri Hj. Kamaruddin B. Mat Isa mantan Menteri Besar Perak yang kelima (1970-1974) yang berasal dari Kampung Batu 16. Selain itu, Allahyarham Tuan Hj. Muhammad Saman B. Muhammad yang lebih dikenali sebagai Hj. Mat Saman Kati (1922-1995) berasal dari Kampung Relau Berdiri, Batu 16; merupakan seorang ulama terkenal dan pernah dilantik sebagai Mufti negeri Perak dari tahun 1978-1986.
Terbaru, ialah Datuk Ustaz Mohammad Kazim Elias atau dikenali dengan gelaran UKE. Beliau adalah penceramah bebas yang terkenal di Malaysia. Sering beliau menyampaikan ceramah dengan nada yang santai dan bersahaja juga diselit komedi kekeluargaan bagi menarik perhatian pendengar.



Batu Kurau terletak di utara Taipingnegeri Perak. Batu Kurau terkenal dengan hasil buah durian.
Durian atau Durio Species merupakan tanaman buah-buahan tropika yang amat popular disekitar Asia Tenggara. Manakala, durian jenis Durio Zibethinus Murr pula merupakan spesis yang paling banyak ditanam untuk tujuan komersil bagi menghasilkan buah yang disukai oleh kebanyakan orang. Durian juga dikenali sebagai raja buah antara semua jenis buah-buahan yang lain.

Batu Kurau sebuah mukim yang terletak di derah Larut Matang dan kewujudannya adalah sezaman dengan sejarah pembukaan dan kemajuan bandar Taiping pada 1850 hingga 1857 ketika Long Jaafar menjadi pembesar di jajahan Larut atau Taiping. Batu Kurau merupakan sebuah kawasan pengeluaran durian yang terkenal. Duriannya memang sedap dan  terkenal sehingga kisahnya pernah disiarkan dalam Majalah 3 dan 360 pada tahun 2012.

Walaupun pelbagai klon diperkenalkan, walau pelbagai nama yang ditonjolkan, namun durian Batu Kurau mempunyai keistimewaannya tersendiri. Duriannya adalah durian asli, durian kampung dan bukanlah klon hibrid. Rasanya yang sedap lemak manis, isi yang tebal bertekstur halus dengan warna kuning menarik (ada juga yang berwarna kuning air/lembut). Keistimewaan itulah yang menjadikan ia sebagai salah satu kawasan pengeluar durian terbaik di Malaysia.








No comments:

Post a Comment

TERATAK BADAR HOMESTAY

Teratak Badar menyediakan perkhidmatan homestay kepada para tetamu yang ingin bermalam di Batu Kurau. Teratak Badar adalah pilihan te...